Wednesday, 31 August 2016

Rujukan


Kesimpulan

   Tanah Melayu akhirnya berjaya memperoleh kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 setelah dijajah oleh kuasa-kuasa asing selama 446 tahun. Kemerdekaan bererti tamatnya tempoh penjajahan di Tanah Melayu dan rakyat boleh memerintah mengikut corak kehidupan mereka sendiri tanpa terikat lagi kepada kuasa asing. Kemerdekaan yang diperolehi adalah melalui proses perundingan dengan pihak Inggeris. Orang Melayu pula telah menunjukkan tolak ansurnya yang paling maksimum sehingga mengorbankan hak ketuanan mereka di bumi sendiri. Walau bagaimanapun, orang Melayu telah tidak dapat menahankan konsep jus soli yang ditentang mereka sejak penubuhan Malayan Union lagi. Dari tempoh 31 Ogos 1957 sehingga 31 Ogos 1958 kaum-kaum bukan Melayu telah diberikan pengecualian perlunya mengetahui bahasa Melayu atau bahasa Inggeris. Ini merupakan satu kelonggaran yang istimewa untuk tempoh satu tahun. Ia bolehlah dianggap sebagai satu hadiah atau pengecualian yang istimewa kepada kaum bukan Melayu. Dalam tempoh setahun ini jugalah MCA telah menjalankan kempen berhabis-habisan hingga lebih daripada 800,000 orang bukan Melayu telah menjadi rakyat Persekutuan Tanah Melayu secara automatik.

Pengajaran/Kesan daripada Proses Kemerdekaan

Tarikh 31 Ogos diabadikan saban tahun sebagai satu tarikh yang penuh bersejarah bagi seluruh rakyat Malaysia tidak mengira usia, keturunan, bangsa dan agama. Sesiapa sahaja yang merupakan rakyat Malaysia akan berasa bangga apabila tiba sahaja hari terakhir di dalam bulan Ogos ini.


Jika dahulu sambutan mungkin dijalankan hanya pada tarikh 31 Ogos ini, tetapi kini sambutannya adalah selama sebulan. Sambutan kemerdekaan selama sebulan ini, yang dikenali sebagai Bulan Kemerdekaan, diadakan bagi tujuan mengingatkan kembali pengorbanan generasi terdahulu yang telah berjuang untuk memastikan anak cucu mereka (iaitu kita semua yang ada hari ini) dapat hidup dalam suasana bebas, aman, makmur dan merdeka. Itulah harapan generasi pejuang kemerdekaan agar keturunan mereka tidak akan dijajah dan dibelenggu oleh kuasa luar.


Sebenarnya, perkara yang lebih utama dalam menyambut ulang tahun kemerdekaan negara ini adalah bagi semua rakyat Malaysia untuk menterjemahkan sambutan ini ke dalam bentuk penghayatan, kesedaran dan kesyukuran. Slogan, laungan merdeka dan cuti umum tidak membawa apa-apa kesan jika rakyatMalaysiatidak menghayati dengan penuh kesedaran dan kesyukuran nilai merdeka yang sebenarnya.


Penghayatan kemerdekaan bukan sekadar melaung-laungkan perkataan merdeka, tetapi juga bermaksud penghayatan dan pemahaman maksud dan kepentingan kemerdekaan yang dikecapi ini. Kesedaran tentang kemerdekaan bukan sahaja bermakna kita tahu bila dan di mana sambutan kemerdekaan diadakan, tetapi juga bermakna kita sedar bahawa kemerdekaan ini wajib dipertahankan kerana negara kita boleh dijajah kembali. Mensyukuri kemerdekaan bukan sahaja bererti kita gembira dengan kemerdekaan yang dikecapi, tetapi juga bererti kita memanjatkan kesyukuran kepada Allah s.w.t. atas anugerah kemerdekaan yang begitu berharga ini.


Inilah yang perlu dilakukan oleh generasi pascamerdeka sebenarnya, iaitu menghayati, menyedari dan mensyukuri kemerdekaan yang tidak ternilai harganya ini. Hakikatnya, generasi hari ini tidak melalui kesusahan, kepayahan dan kegetiran zaman sebelum merdeka, baik zaman penjajahan Inggeris mahupun zaman pendudukan tentera Jepun ketika Perang Dunia Kedua.


Generasi pascamerdeka hanya mengetahui tentang zaman sebelum merdeka dari buku-buku sejarah. Mungkin kerana tidak dapat menghayati sendiri erti kemerdekaan yang sebenar, maka ada di kalangan generasi pascamerdeka ini yang mengambil mudah sambutan ulang tahun kemerdekaan negara.Ada yang menganggap tarikh 31 Ogos hanya satu cuti umum semata-mata. Ini sememangnya amat menyedihkan kerana ketiadaan penghayatan kemerdekaan yang sebenar boleh mengundang penjajah kembali ke negara kita.


Kita perlu sedar bahawa penjajahan yang boleh berlaku ini tidak lagi sama seperti bentuk penjajahan ketenteraan seperti suatu masa dahulu. Walaupun penjajahan bentuk lama ini masih lagi boleh berlaku seperti yang kita lihat berlaku di sesetengah negara di dunia ini, hakikatnya penjajahan bentuk baru lebih merbahaya. Ini kerana penjajahan bentuk baru berlaku secara halus, tersembunyi dan tidak disedari. Antara bentuk penjajahan bentuk baru ialah penjajahan pemikiran, budaya dan ekonomi.


Atas sebab inilah maka generasi pascamerdeka ini perlu lebih berhati-hati berbanding dengan generasi terdahulu. Serangan ketenteraan dapat dilihat dan ditentang kembali. Persoalannya jika serangan yang dilakukan itu dalam bentuk serangan pemikiran, budaya dan ekonomi, bagaimana mungkin kita menangkisnya?


Generasi pascamerdeka yang diracuni pemikiran menerusi penjajahan bentuk baru akan memperjuangkan nilai-nilai Barat yang bertentangan dengan nilai-nilai Islam dan nilai-nilai ketimuran. Hakikatnya peradaban Barat sudah mula terhakis nilai-nilai murninya. Tidak wujud lagi sebenarnya peradaban Barat, yang ada mungkin adalah “perbiadaban” Barat yang menjunjung nilai-nilai songsang yang merosakkan institusi kekeluargaan dan kemasyarakatan.


Keracunan pemikiran akibat penjajahan bentuk baru ini seterusnya boleh menyebabkan pencemaran budaya. RakyatMalaysiaamat berbangga dengan kepelbagaian budaya dan adat resam pelbagai bangsa. Keunikan ini boleh terhakis jika penjajahan budaya yang terkesan dari proses globalisasi membawa masuk budaya-budaya negatif yang membawa kerosakan.


Penjajahan ekonomi juga tidak kurang bahayanya. Jika kita imbas kembali kepada kegawatan ekonomi di tahun-tahun terakhir 1990an, kita bersyukur kerana kita tidak membuat kesilapan yang sama seperti negara-negara lain di rantau Asia Timur ini dengan menerima “ubat” yang ditawarkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia. Apa yang disangka “ubat” sebenarnya “racun” yang dijadikan senjata untuk mengawal dan mengongkong kedaulatan sebuah negara yang merdeka.


Islam sebenarnya memberikan beberapa pendekatan yang mampu untuk memastikan kelangsungan kemerdekaan yang dikecapi oleh negara kita. Pendekatan-pendekatan ini perlu dilaksanakan oleh generasi pascamerdeka yang merupakan majoriti pendudukMalaysiahari ini. Di atas bahu generasi inilah terletaknya amanah dan tanggungjawab untuk memastikan agar negara kita akan terus merdeka dan makmur.


Islam turut menganjurkan supaya kita mempersiapkan diri, masyarakat dan negara dengan segala jenis kekuatan. Dalam kata lain, kekuatan yang perlu dibina itu bukan sahaja dari aspek ketenteraan, tetapi juga dari aspek kekuatan ekonomi, politik, sosial dan ilmu pengetahuan. Hanya dengan kekuatan dalaman sahajalah yang akan dapat membantu mempertahankan kemerdekaan negara.


Aspek perpaduan juga perlu diberikan perhatian yang sewajarnya oleh generasi pascamerdeka. Di dalam sebuah hadis, baginda Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Antara seorang Mukmin dengan seorang Mukmin yang lain adalah seperti sebuah binaan, di mana satu bahagian memperkukuhkan bahagian yang lain”. Jika diterjemahkan hadis ini dalam konteksMalaysia, jelas kepada kita bahawa kita perlu mewujudkan kesepaduan dan kesepakatan yang jitu. Jika kita berpecah-belah dan bercakaran sesama sendiri, nescaya ini akan memudahkan pencerobohan musuh ke atas negara kita.


Adalah penting bagi generasi pascamerdeka untuk menghayati dan memahami sejarah silam. Kejatuhan Empayar Melayu Melaka adalah kerana perselisihan dalaman dan perebutan kuasa. Akibatnya Portugis menyerang dan berjaya menjajah Melaka. Bermula dari detik hitam dalam tahun 1511 itu, negara terpaksa menunggu 446 tahun sebelum kembali merdeka.


Kita mengambil masa 446 tahun lamanya untuk kembali merdeka. Kini kita baru merasai nikmat kemerdekaan ini selama 59 tahun. Sanggupkah kita menggadaikan kemerdekaan ini sekali lagi?

Selamat Menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan Malaysia yang ke-59







Senarai Perdana Menteri Malaysia (1957-2016)




Perdena Menteri Malaysia



Tunku Abdul Rahman
(Perdana Pertama)


Tun Abdul Razak
(Perdana Menteri Kedua)


Tun Hussein Onn
(Perdana Menteri Ketiga)


Tun Mahathir Mohammad
(Perdana Menteri Kelima)



Tun Abdullah Ahmad Badawi
(Perdana Menteri Kelima)



Dato Seri Najib Bin Tun Razak
(Perdana Menteri keenam/kini)

Erti Kemerdekaan













Kemerdekaan ialah pemerintahan sendiri oleh penduduk-penduduk sebuah negara yang secara amnya menuntut kedaulatan. Istilah kemerdekaan digunakan untuk membezakan dengan penaklukan yang merujuk kepada sesuatu kawasan sebagai "wilayah" yang dikawal oleh sebuah kerajaan luaran dari segi politik dan tentera. Perkataan ini kekadang juga digunakan dalam erti kata yang lebih lemah untuk membezakan dengan hegemoni yang merupakan kawalan sebuah negara secara tak langsung oleh sebuah negara yang lebih kuat. Kemerdekaan boleh merupakan taraf permulaan bagi sebuah negara muncul (sering kali untuk mengisi kekosongan politik), tetapi sering merupakan pembebasan daripada kuasa yang mendominasi kawasan itu. 

   Dari segi negatif, kemerdekaan juga boleh ditakrifkan sebagai keadaan yang tidak dikuasai oleh kuasa yang lain melalui penjajahan, dasar peluasan kuasa atau imperialisme. Kemerdekaan boleh diperoleh melalui penyahjajahan, pemisahan atau pembahagian. Walaupun ketiga-tiga ini sering berbetulan dengan kemerdekaan, ketiga-ketiga ini harus tidak dikelirukan dengan pemberontakan yang biasanya merujuk kepada penggulingan pihak berkuasa secara ganas. Ini kekadang hanya bertujuan untuk pengagihan semula kuasa dengan atau tanpa unsur pembebasan seperti dalam kes pendemokrasian di dalam sebuah negara dan oleh itu, bentuk negara itu tidak berubah. Umpamanya, Revolusi Oktober Rusia tidak bertujuan untuk memperoleh kemerdekaan negara; sebaliknya Perang Revolusi Amerika Syarikat bertujuan sedemikian. 

   Terdapat banyak sebab mengapa sebuah negara atau wilayah hendak menuntut kemerdekaan. Kekecewaan terhadap pihak berkuasa merupakan alasan yang sering dikemukakan oleh gerakan-gerakan pengikut faham pemisahan, tetapi kesusahan ekonomi biasanya adalah yang mencetuskan tindakan gerakan-gerakan ini. Cara untuk menuntut kemerdekaan berbeza-beza dari tunjuk perasaan yang aman ke perang saudara yang ganas. Tarikh kemerdekaan (atau kekadangnya permulaan pemberontakan) biasanya dirayakan sebagai hari kelepasan negara yang dikenali sebagai hari kemerdekaan.






Pengisytiharan kemerdekaan










Pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu merupakan peristiwa pengumuman kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957. Tarikh ini dipilih dalam mesyuarat antara Ketua Pemuda UMNO Tun Sardon Jubir dan timbalannya Haji Ahmad Badawi (bapa Perdana Menteri Malaysia kini) di Kepala Batas, Pulau Pinang pada 1956. Mufti Pulau Pinang, Haji Abdullah Fahim (bapa Haji Ahmad Badawi) turut ikut serta dalam perbincangan tersebut.

Sebelum pemasyhuran kemerdekaan Tanah Melayu dibuat, pada 30 Ogos 1957 pukul 12.00 tengah malam di Padang Kelab Selangor, Kuala Lumpur, telah diadakan upacara menurunkan bendera Union Jack bagi menandakan berakhirnya penjajahan British di Tanah Melayu dan lahirnya sebuah negara baru yang berdaulat, setaraf dan setimpal dengan semua negara-negara yang berdaulat di dunia. Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dinaikkan oleh beberapa orang pemuda UMNO sambil disaksikan sendiri oleh Tunku Abdul Rahman.

Pada 31 Ogos 1957 bertempat di stadium yang baru dirasmikan iaitu Stadium Merdeka, Kuala Lumpur telah menyaksikan peristiwa bersejarah bagi Tanah Melayu iaitu secara rasminya penyerahan pemerintahan Persekutuan Tanah Melayu daripada pemerintahan British kepada warganegara Tanah Melayu. Hujan lebat yang turun sejak 3 pagi menyukarkan pergerakan dan sehingga 6.30 pagi, stadium masih belum dipenuhi oleh pengunjung. Ini menyebabkan upacara telah ditangguhkan selama sejam dan pengumuman majlis bermula kedengaran bukan pada pukul tujuh seperti yang dijangka tetapi pada pukul lapan. 2,000 orang tentera Persekutuan menumpang di sekolah-sekolah berhampiran stadium sebelum itu berarak dalam hujan dan tujuh batalion yang membuat perarakan ketika itu iaitu Rejimen Persekutuan, Skuadron Isyarat, Skuadron Jurutera, Tentera Laut Diraja Tanah Melayu, Tentera Laut Simpanan Diraja Tanah Melayu dan Askar Sivil Persekutuan. Pada pukul 8, para media telah diberi pengumuman untuk bersedia dan semua peralatan kamera dan media ketika itu dipasang dengan perlindungan plastik atau pelapik kalis air lain di sekitar padang yang lembap. Kebetulan, hujan reda yang memungkin segala persiapan sebelum upacara bermula dapat dijalankan dengan mudah. Pengunjung bertambah ramai untuk menyaksikan upacara bersejarah ini.

Adikung Duke membawa watikah perlembagaan yang menyatakan pengunduran daripada perlindungan British terhadap negeri-negeri Melayu dan kedaulatan terhadap Pulau Pinang dan Melaka. Raja-raja Melayu mula melangkah ke pentas dan Duke mengambil tempat di depan pentas sambil menerima hormat diraja sambil diiringi oleh Sir Donald MacGillivray. Ketika itu merupakan kali terakhir satu-satu upacara negara menyanyikan lagi kebangsaan British di Persekutuan Tanah Melayu. Kemudian, baginda Duke membacakan perutusan daripada baginda Ratu Elizabeth II akan pernyataan baginda yang mengalukan kemasukan Persekutuan ke dalam Komanwel dan mendoakan kejayaan negara ini. Kemudian, Perdama Menteri Tunku Abdul Rahman bangun dari tempat duduknya dan menerima watikah perlembagaan sebagai lambang penyerahan kuasa pemerintahan sepenuhnya kepada Persekutuan Tanah Melayu. Duke mengambil tempat duduk dan Tunku mulakan ucapannya dalam bahasa Inggeris. Setelah Tunku mengucapkan penghargaan kepada Great Britain akan pertolongan untuk mencapai kemerdekaan, beliau mula membaca teks "Pengisytiharan Kemerdekaan".

Pengisytiharan itu disambut dengan laungan "MERDEKA" 7 kali sebagai Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu yang pertama di hadapan 20 ribu rakyat Persekutuan Tanah Melayu dan Raja-rajanya serta perwakilan dari 30 negara-negara Komanwel dan negara-negara asing lainnya. Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dinaikkan dengan iringan Lagu Kebangsaan Negaraku yang buat pertama kalinya diperdengarkan secara rasmi dalam sebuah negara baru. Diikuti pula selepas itu dengan seruan azan sebagai simbolik lahirnya sebuah negara yang baru dan tembakan meriam seratus satu das. Dengan pengisytiharan itu, maka berakhirlah penjajahan Inggeris dan kuasa Baginda Ratu ke atas Persekutuan Tanah Melayu termasuk Pulau Pinang dan Melaka iaitu sejak lebih 170 tahun. Pada hari itu juga Pesuruhjaya Tinggi British terakhir di Persekutuan Tanah Melayu, Sir Donald MacGillivray dan isterinya telah meninggalkan negara ini dan pulang ke England.

Antara barisan pertama Perwakilan Asing datang ke Tanah Melayu ialah:

• Raja dan Permaisuri Siam
• Putera dan Puteri Mahkota Jepun
• Johannes Gerhardus Strijdom, Perdana Menteri Afrika Selatan
• Jawaharlal Nehru, Perdana Menteri India
• Huseyn Shaheed Suhrawardy, Perdana Menteri Pakistan
• Pham Van Dong, Perdana Menteri Vietnam
• Solomon Bandaranaike, Perdana Menteri Ceylon (Sri Lanka)
• U Nu, Perdana Menteri Burma
• Sim Var, Perdana Menteri Kemboja
• Sir Alexander Grantham, Gabenor Hong Kong
• John Foster Dulles, Setiausaha Negara Amarika Syarikat
• Duta Australia, Kanada dan New Zealand
• Lim Yew Hock, Ketua Menteri Singapura
• Putera Henry, Duke of Gloucester (wakil Ratu Elizabeth II), Puteri Alice, Duchess of Gloucester dan Putera William of Gloucester
• Sir Gerald Templer (bekas Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu)
• Lady Gurney dan Lady Gent (isteri bekas Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu)